Artikel : Berita Harian, Sabtu 21 Januari 2012 | Ekonomi - E11
Harga emas meningkat semalam disokong aktiviti tawar menawar daripada pelabur Asia sementara pengukuhan matawang euro dan peningkatan pasaran saham juga menyokong harga logam berharga itu untuk kekal tinggi.
Pengguna China membantu melonjakkan harga logam berharga itu ke paras tertingginya dalam tempoh lebih sebulan minggu ini dan pengguna lain juga membeli di saat akhir sebelum cuti panjang sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bermula minggu depan.Harga emas meningkat enam peratus setakat ini. Ia meningkat 0.07% kepada AS$1,657.89 seaun selepas jatuh ke paras rendah sekitar AS$1,653. Ia mencecah paras tertinggi pada AS$1670 seaun kelmarin, paras tertingginya sejak pertengahan Disember, sebelum susut berikutan kelemahan Amerika Syarikat (AS).
Harga emas mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada paras AS$1,920 seaun September lalu.
“Prestasi emas adalah baik setakat ini bagi 2012, mungkin ia adalah masa untuk penggabungan. Selepas ini, saya fikir paras berikutnya adalah AS$1,680.” Kata pakar Kanan Strategi Komoditi ANZ Bank di Singapura, Nick Trevethan.
“Saya fikir harga emas bergerak perlahan sedikit minggu depan. Pembeli China akan mengambil masa untuk kembali kepada pasaran sekiranya harga jatuh dengan mendadak. Jadi, saya fikir harga mungkin boleh susut ke paras bawah AS$1,600.”
Harga emas AS bagi Februari meningkat 3.6 sen seaun kepada AS$1658.10 seaun.
Saham di Asia meningkat mencecah paras tertingginya dalam tempoh dua bulan semalam disokong jualan menggalakkan bon Sepanyol dan Perancis dan tanda Greece mungkin menerima usrusniaga hutang dengan kreditornya melegakan kebimbangan keupayaan pembinaan semula Eropah.
Emas kebiasaannya mengikut pergerakan matawang euro dan pasaran saham kerana status lindung nilainya, yang membenarkan spekulator menjual logam berharga itu untuk mendapatkan tunai bagi mengurangkan kerugian di pasaran lain, terutama dalam keadaan tidak menentu di Eropah.
“Emas meningkat sejak memasuki tahun baru, jadi wujud aktiviti pengambilan untung,” kata peniaga di Hong Kong.
“Pengurus dana masih tertanya-tanya sama ada akan berlaku kemelesetan, atau krisis di Eropah akan merebak.”
Peniaga lain berkata, permintaan kepada emas fizikal juga meningkatkan dagangan di Asia Tenggara.
“Semua pengguna membeli dan pada masa sama menjual sepanjang sesi dagangan. Pengguna Thailand dan Indonesia juga terus membeli logam berharga itu sejak pagi tadi,” kata peniaga di Singapura.
“Tetapi saya rasa ramai orang fikir sekiranya harga mencecah paras AS$1,680, ia mungkin kembali pembetulan.” – REUTERS –
No comments:
Post a Comment